Saturday, 1 March 2014

Adam Lutfi

Tak lama selepas majlis sambut menantu di Arau, Perlis, aku dan pasangan menerima berita gembira apabila doktor mengesahkan kehamilan isteriku. Selepas kandungan semakin membesar, aku bertambah gembira apabila mengetahui kandungan dalam rahim isteriku adalah seorang lelaki. Gembira kerana dapat menyambung warisan keluarga Othman.

Perancangan dan persediaan dibuat sedikit demi sedikit kerana dijangka kandungan isteriku akan lahir pada lebih kurang 18 Disember 2013. Semasa melakukan pemeriksaan kandungan di Klinik Seri Kembangan dan Hospital Bersalin An-nur, Bangi, keadaan dan kesihatan kandungan adalah normal, hanya Hb ibunya sahaja agak kurang.

Pada 27 Oktober 2013, sewaktu pulang daripada kerja, isteri mengadu sakit di bahagian perut. Apabila diajak ke klinik berdekatan, isteri menolak kerana menganggap sakit hanya disebabkan angin atau mungkin gastrik. Tidak pernah terlintas pada mulanya sakit tersebut disebabkan kontraksi kandungan kerana due date lambat lagi. Bagaimanapun, sakit tersebut semakin lama semakin teruk dan akhirnya aku memaksanya untuk membuat pemeriksaan di Hospital An-nur kerana bimbang keadaan isteri dan kandungan. Hospital An-nur memberi suntikan penahan sakit tetapi kesakitan itu tidak hilang. Pemeriksaan lanjut tidak dibuat disitu kerana ketiadaan doktor wanita.

Isteriku kemudian dirujuk ke Hospital Az-zahrah yang kemudian mengesahkan kesakitan tersebut adalah disebabkan kontraksi kandungan (ingin melahirkan anak). Setelah disemak due date kandungan, hospital mengesahkan bahawa isteriku berhadapan dengan kelahiran pra-matang atau pre-mature. Isteriku dirujuk ke Hospital Serdang kerana hospital swasta tersebut tidak mempunyai peralatan mencukupi untuk menyambut kelahiran bayi pra_matang.

Di Hospital Serdang, aku dibenarkan berada di sisi isteriku di labotary room sewaktu melahirkan anak. Disitu aku melihat kepayahan dan keperitan isteri untuk melahirkan anak. Disana hatiku menjadi sebak melihat pengorbanan seorang ibu melahirkan anak. Semua ini membuatkan aku lebih menghargai isteri yang melahirkan zuriat kami serta ibu yang melahirkan aku.

Jam 10.49 am, pada 28 Oktober 2013 Adam Lutfi dilahirkan dengan berat 1.77 kg. Aku menyambutnya dengan laungan azan di kanan telinga dan iqamah di telinga kirinya. Sewaktu menyambut kelahirannya, hatiku sekali lagi sebak melihat betapa kecilnya Adam Lutfi berbanding bayi lain. Aku diberitahu bahawa paru-paru anak sulungku tidak begitu sihat dan perlu dimasukkan ke wad NICU.

Hati ibubapa mana tidak terusik melihat zuriatnya dipasang bantuan pernafasan dan disuntik jarum. Disini aku menyedari bahawa manusia langsung tidak mempunyai sebarang kuasa tanpa keizinan Allah SWT. Setiap hari aku berulang-alik melawat anakku. Adam Lutfi ditempatkam di NICU selama 18 hari sebelum dibenarkan keluar.

No comments:

Post a Comment