Tuesday, 16 April 2013

Istana Kayangan

Tanggal 10 November 2012, bertempat di Masjid At-Taqwa,Taman Desa Serdang  'Athirah binti Abdul Halim dan Amiruddin bin Othman akhirnya menjadi suami isteri dengan hanya satu lafaz akad.

Namun menuju bahagia sebenarnya tidak semudah itu. Dengan keadaan kewangan yang tidak begitu stabil ditambah pula dengan keadaan diri ini yang jauh di perantauan dan begitu sibuk dengan pekerjaan, segalanya seakan sukar dilakukan.

Antara yang menjadi kesukaran ialah untuk menghadiri kursus perkahwinan dan melakukan ujian HIV. Memandangkan jadual kerja terlalu padat, beberapa perancangan awal tidak dapat ditetapkan. Contohnya, kesukaran melakukan ujian HIV apabila terpaksa berhadapan dengan kerenah-kerenah birokrasi dan prosedur berbeza di  Klinik-klinik Kerajaan. Ujian HIV adalah syarat wajib untuk memohon nikah. Ada klinik yang hanya boleh melakukan ujian pada hari dan masa tertentu, ada juga yang boleh lakukan pada bila-bila masa tetapi keputusan ujian perlu mengambil masa yang begitu lama dan ada juga yang perlu "booking" awal sebelum melakukan ujian. Kursus perkahwinan pula akhirnya dihadiri seorang diri kerana dia sudah mempunyai sijil semasa menuntut di universiti dulu.

Perkara kedua yang menjadi kesukaran ialah hiasan barangan hantaran. Ikutkan hati ini ingin aje mengupah penggubah yang biasa mengubah hantaran tetapi memandangkan kurangnya sumber kewangan, akhirnya diri ini nekad untuk menggubah hantaran tersebut dengan tangan sendiri. Hasilnya boleh dibanggakan jugak.

Perkara ketiga ialah duit hantaran, mas kahwin dan beberapa persiapan lain. Ini adalah  part  yang sebenarnya diri sendiri tak  dapat terima. Wang hantaran yang diminta pihak pengantin perempuan berjumlah  RM10k manakala Mas Kahwin adalah sebanyak RM2.5k. Sebenarnya sejak ketiadaan teman wanita menyebabkan diri ini malas mengumpul harta tetapi apabila memerlukan, menyesal pun ada. Tambah-tambah lagi segalanya berlaku terlalu pantas dan tanpa disangka. Aku terharu apabila kedua orang tua ku sanggup mengorbankan wang yang sebenarnya ingin mereka gunakan untuk perkara lain (buat rumah) menunaikan impian ku menuju bahagia. Aku terlalu sayangkan mereka dan merasa teramat bersalah. Ampunkan saya mak, ampunkan saya ayah.

Dan satu perkara lagi ialah tarikh perkahwinan tersebut. 30 Oktober 2012 merupakan hari terakhir diri ini bekerja di Air Asia Berhad. Kemudian mulai 1 November sehingga 28 Disember 2012 perlu menghadiri Kursus Asas dan Latihan Pegawai Penguatkuasa SPAD Siri 2/2012 manakala tarikh perkahwinan ku berada dalam waktu yang sama. Akhirnya hasil perbincangan, diri ini diberi cuti selama 2 setengah hari untuk melangsungkan perkahwinan. Walaupun dalam keadaan kelam-kabut, majlis kami boleh dikatakan berjalan lancar. Syukur Alhamdulilah.

Tanggal 24 Mac 2013 pula berlansung majlis bertandang menantu ke rumah (baru)ku. Sekali lagi diri ini berterima kasih atas pengorbanan yang dilakukan kedua orang tuaku kerana mengorbankan wang ringgit, usaha dan keringat mereka menjayakan majlis tersebut. Walaupun mungkin dikatakan pengantin basi kerana sudah lebih 4 bulan usia perkahwinan kami barulah majlis bertandang dilakukan, ia tetap menjadi sebuah memori yang tidak dapat kami lupakan.
 

-Tamat-